Mencari bahagia
Seorang wanita bercerita pada saya sambil menangis ketika saya berada di Paramount Bangi. Beliau singgah di kafe dengan harapan dan berdoa agar beliau dapat berjumpa dengan saya. Beliau sungguh tidak sangka akan dapat bertemu dengan saya.
Allah sangat baik pada kita semua. Allah SWT telah memakbulkan doa beliau. Selepas beliau balik daripada program Keluarga Sunnah yang lepas, segalanya telah berubah. Beliau menerangkan beliau dan suami sudah mendirikan rumahtangga selama 10 tahun. Baru ini suami beliau balik dari kerja dan telah hadiahkan bunga untuk beliau. Suami belikan bunga dan hadiah membuat beliau menangis terharu. Sebenarnya bukan bunga itu membuat beliau menangis tetapi beliau merasakan doa beliau kepada Allah SWT telah dimakbulkan. Malah suami telah mula membantu memulih dan menguatkan emosi beliau yang sudah lemah dan hampir putus asa terhadap suami dan perkahwinan ini.
Malah ketika keluarga dan saudara mara sebelah suami datang bertandang ke rumah. Beliau telah buat masakan untuk mak dan ayahnya. Beliau memasak pelbagai juadah untuk buat mereka rasa seronok. Sebelum ini isteri tersebut agak malas untuk memasak terutama untuk keluarga suami dengan pelbagai alasan. Namun pada hari tersebut si isteri telah buat dengan gembira. Beliau rasa begitu bahagia dapat memberi khidmat kepada kedua-dua ibu bapa mertua. Suami beliau juga turut membantu walau hanya sedikit tetapi membuatkan hati beliau sudah berbunga-bunga macam bunga yang suami hadiahkan. Malah jika dapat dilihat, bunga di hati beliau lebih wangi dan mekar.
Selepas keluarga suami pulang suami datang dan peluk beliau sambil berkata, “terima kasih yang, kasihan sayang kerana bersusah payah membantu abang melayan keluarga abang, sayang pergilah rehat dan tidur”. Itulah penghargaan daripada suami yang membuat hati beliau cair. Si isteri rasa sebak dan hati penuh dengan kasih sayang dan pada hari itu saya berehat selepas berpenat dengan hati yang reda kepada Allah SWT kerana menganugerahi hidup saya dengan orang yang menyedari kehadiran saya disisinya.
Selama ini suami beliau seolah-olah tiada perasaan. Isteri tahu dan sedar suami sangat sayang padanya tapi terkadang saya ingin juga dapat merasakan penghargaan daripada beliau. Suami amat susah dan berat untuk meluahkan cinta dan penghargaan buat isteri. Mereka merasakan segalanya telah cukup hingga membiarkan hati isteri kontang seperti padang pasir yang tidak ditimpa hujan selama ribuan tahun. Saat menerima penghargaan walau sedikit ditunjukkan betapa bertuah rasa badan.
Ketika isteri itu terjaga di awal pagi beliau sangat terperanjat apabila melihat seluruh rumah telah dibersih dan dikemaskan. Pinggan semua sudah dicuci dan disimpan, lantai rumah sudah di mop berkilat, baju dan pakaian sudah dicuci dan sudah siap disidai. Melihat ini si isteri terus sujud syukur. Sekali sekala dibantu terasa begitu dihargai.
Tidak sangka Allah SWT bagi hadiah begini. Setiap malam beliau berdoa kepada Allah SWT agar memberi beliau suami yang dapat sama-sama membimbing dan membawa saya dekat kepada Allah SWT. Dahulu beliau hanya berseorangan bangun malam beribadah malah solat subuh hanya berseorangan bangun. Suami beliau amat susah hendak solat. Suami liat hendak bangun untuk solat subuh. Namun segala puji bagi Allah sudah seminggu suami beliau solat Tahajud malah beliau turut pergi solat subuh berjemaah di masjid.
Sesungguhnya masa bahagia akan tiba dalam hidup kita. Yang paling penting kita menangislah meminta pertolongan daripada Allah SWT dalam membantu urusan keluarga. Kedua, rajinlah bersama- sama belajar ilmu agama. Belajar serta fahami cinta dengan kasih sayang dalam Islam.
Sesungguhnya bahagia itu bermula dari hati. Serahkan hati itu kepada Allah SWT. Hanya seketul hati, serahkan kepada NYA dan mulakan langkah mendekat diri kepada Allah SWT. Segala yang kelihatan mustahil akan menjadi keajaiban dalam hidup kita.